Pertimbangkan kebaikan yang boleh anda lakukan; bukannya kesilapan yang anda tidak berupaya lenyapkan.
Untuk memaafkan diri sendiri, anda mungkin perlu memikirkan cara yang sesuai untuk memperbetulkan keadaan dengan orang lain. Memperbetulkan keadaan boleh menjadi perkara yang sangat baik untuk dilakukan, tetapi berhati-hati dengan perasaan ingin menghukum diri sendiri yang sering dalam bentuk perasaan kesal. Memperbetulkan keadaan, atau bahkan bercadang untuk memperbetulkan keadaan, biasanya akan membuat anda rasa lega. Jika tidak, mungkin masih ada lagi saki baki perasaan ingin menyakiti diri sendiri, atau menghukum diri sendiri di dalam diri anda. Memperbetulkan keadaan mungkin membebankan anda tetapi ia tidak sepatutnya membahayakan diri anda.
Sekiranya anda tidak dapat menghubungi mereka (mereka berada di luar ruang lingkup hidup anda disebabkan oleh apa jua alasan) tetapi anda masih ingin memperbetulkan keadaan, lakukannya melalui seorang wakil dan bersikaplah baik hati, murah hati atau bermanfaat kepada seseorang dari bangsa yang sama dengannya, satu kumpulan dengannya atau jenis orang yang sama – atau sesiapa sahaja secara rambang.
Adakah anda percaya bahawa Tuhan harus memaafkan anda sebelum anda boleh memaafkan diri anda sendiri? Jika ya, tanyalah diri anda sendiri bagaimana anda tahu jika ianya belum terjadi. Kemudian lakukan dan selesaikan Empat Langkah beberapa kali dan lihat jika fikiran menjadi lebih jelas. (Sila lihat Apakah Tuhan Memaafkan Saya?)
Dalam memaafkan diri sendiri, Empat Langkah Kemaafan pada dasarnya adalah sama. Bagaimanapun, kita ubah Langkah Ketiga dengan menambah satu bahagian tentang bagaimana orang lain akan mendapat manfaat daripada tindakan kita memaafkan diri sendiri.
Langkah 1. Saya ingin maafkan diri saya untuk:
Pilih satu perkara tertentu.
Contoh: Saya ingin maafkan diri saya kerana melemparkan kata-kata dan melakukan perkara-perkara yang menyakitkan kepada abang saya.
Langkah 2. Saya ingin melepaskan perasaan:
Senaraikan perasaan yang ada di sekitar peristiwa tersebut. Anda perlu memperakui berlakunya perasaan tersebut agar anda boleh melepaskannya dan maju ke depan.
Contoh; takut akan dihukum, penolakan diri, benci diri sendiri, rasa bersalah, rasa malu, dsb.
Langkah 3A. Saya memperakui bahawa memaafkan keadaan ini akan memberikan manfaat kepada diri saya kerana saya akan:
Senaraikan manfaat-manfaat yang akan anda terima kerana anda kini sudah berupaya untuk memaafkan diri sendiri. Manfaat-manfaatnya boleh termasuk rasa bebas seperti yang telah disenaraikan dalam Langkah 2, dan dapat merasakan perasaan yang berlawanan. Manfaat-manfaat ini juga boleh merangkumi keupayaan untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik, mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, mempunyai lebih banyak wang, dll., bergantung pada apa yang relevan dengan tujuan anda memaafkan diri anda.
Contoh; Berasa lebih bahagia, bebas, lebih santai dan sebagainya.
Memandangkan ianya adalah proses memaafkan diri sendiri, kita akan tambah langkah tambahan, Langkah 3B, kepada empat langkah yang biasa. Dalam langkah ini, kita tumpukan perhatian kepada cara orang lain akan mendapat manfaat daripada anda kerana memaafkan diri sendiri. Beberapa manfaat mungkin adalah kesan daripada manfaat-manfaat lain yang anda terima kerana memaafkan diri sendiri. Ada diantaranya manfaat yang diterima orang lain kesan daripada anda lebih bugar dan kreatif.
Langkah 3B. Saya memperakui bahawa memaafkan diri saya untuk tujuan ini akan memberi manfaat kepada orang lain, kerana:
Memaafkan diri anda boleh memanfaatkan orang lain dengan membantu anda menjadi seorang ibu atau bapa yang lebih baik, seorang sahabat yang lebih prihatin, seorang pendengar yang lebih baik, seorang yang lebih mudah memaafkan dan sebagainya. Anda mungkin akan menjadi seorang yang kurang taksub dengan kelebihan diri sendiri dan lebih memberi perhatian kepada orang lain. Anda mungkin menjadi seorang yang kurang berkeinginan untuk diri sendiri dan mempunyai lebih banyak untuk dikongsikan. Pilih contoh manfaat kepada orang lain yang benar-benar bermakna kepada mereka di sekeliling anda.
Contoh; Saya adalah seorang yang lebih menyenangkan jika bersama orang lain (kurang sikap pemarah, kurang bermasam muka dan kurang rasa tertekan), saya akan menjadi lebih ramah dan lebih penyayang. Saya mempunyai lebih banyak untuk dikongsikan.
Langkah 4. Saya memberikan komitmen untuk memaafkan diri saya untuk _____ dan saya terima ketenangan dan kebebasan yang datang dari kemaafan tersebut.
Dan juga, atau selain daripada, ketenangan dan kebebasan, anda boleh senaraikan manfaat-manfaat spesifik. Anda juga boleh memasukkan manfaat-manfaat yang juga akan diterima oleh orang lain kesan daripada perubahan dalam diri anda ketika anda cuba memaafkan diri anda. Selalunya, manfaat yang anda terima akan juga mendatangkan manfaat kepada orang lain, secara langsung. Sekiranya anda menjadi seorang yang lebih ceria, atau pekerja yang lebih baik, ramai di sekeliling anda akan mendapat manfaat kesan daripadanya. Kesedaran mengenai manfaat yang diterima orang lain, sewaktu kita melakukan Langkah-Langkah Kemaafan ini, boleh membantu memudahkan kita memaafkan diri sendiri.
Contoh:
- Saya memberi komitmen untuk memaafkan diri saya kerana memarahi isteri/suami saya, agar saya bebas untuk menjalani hidup dengan lebih bermakna dan saya boleh menjadi pasangan yang lebih penyayang.
- Saya memberi komitmen untuk memaafkan diri saya kerana kehilangan pekerjaan, agar saya dapat meneruskan hidup saya dan mencari pekerjaan yang lebih baik yang membayar gaji lebih tinggi untuk kebaikan diri dan keluarga saya.
Adalah lebih baik untuk melakukan langkah-langkah ini secara bertulis terlebih dahulu. Mulakan dengan isu-isu kecil, meskipun anda merasakan bahawa tidak ada isu kecil dalam proses kemaafan. Memaafkan diri anda untuk kesilapan yang mungkin dianggap remeh, kecil yang berlaku suatu ketika dahulu boleh mengakibatkan perubahan besar. Lakukan semua langkah-langkah tersebut sekurang-kurangnya untuk beberapa kali dan anda akan lihat bagaimana kemampuan dan keupayaan untuk memaafkan menjadi lebih kuat. Tambah isu-isu lain, tukar perkataan-perkataan yang anda gunakan (jika anda mahu) sewaktu anda mengulanginya. Lakukan langkah-langkah tersebut dengan lebih lama apabila anda merasakan ada perubahan berlaku di dalam diri anda.
Sudah tentu, tiada dari langkah-langkah diatas adalah tanpa proses memperbaiki keadaan atau meminta maaf bilamana sesuai dan membantu; selagi mana melakukannya tidak akan mendatangkan lebih banyak keburukan kepada orang lain. Jika anda memikirkannya dan rasakan apakah yang patut dilakukan, anda akan tahu apa yang perlu dilakukan. Jika tidak berupaya untuk memperbaiki keadaan, anda boleh teruskan kehidupan sebaik mungkin. Pertimbangkan kebaikan-kebaikan yang boleh anda lakukan; bukannya keburukan-keburukan yang anda sudah tidak berupaya lenyapkan.
Download Ebook Percuma
Download Ebook Percuma: 4 Langkah Kemaafan PDF
Download Ebook Percuma: 4 Langkah Kemaafan KINDLE
Download Ebook Percuma: 4 Langkah Kemaafan EPUB
4 Langkah Kemaafan
Cara ampuh untuk mencapai kebebasan, kebahagiaan dan kejayaan hidup.
William Fergus Martin
ISBN: 9781942573272